Masakan
ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang.
Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan
ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi.
Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan
sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?
Kata orang, itulah penangan 'air
tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh,
menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan
tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh
makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut'
bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang memberi
kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan
sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata
yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang,
kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk
anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan
pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.
Pakar motivasi dan psikologi sepakat
menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang,
ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat'
tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk
'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang
memasak atas dorongan ganjaran komersial.
Justeru semakin ikhlas, ceria dan
kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya
itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang
keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka
semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, 'air tangan'
bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia
adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap
pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang
buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk
berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang
paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti
kerjanya.
Falsafah di sebalik 'air tangan'
inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita
memperelokkan kerja menerusi sabdanya:"Bahawasanya Allah s.w.t suka
apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan
kerjanya."
Lianni uhibbuki ummi
wa abi : syarifah rohana bt sheikh harun & mohd yamin bin sapiai
At bilik bujang IPG KPI, bangi
selangor
No comments:
Post a Comment