~sayang usrah~
mula berkecimpung dalam usrah di bumi wataniah y byk mentarbiah jasad kerdil ini untuk lebih mengenali AL KHALIQ.. ahli usrah lahir dari insan - insan biasa yang cuba untuk menjadi luar biasa. halakah yang bermula dengan 5,6 orang akhirnya berkembang... inilah hasilnya ------->>
Apabila kita menyebut wasilah atau
kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah
wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah
pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha
semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun
memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan
wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita
adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan
lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita
hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah
yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan
al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis
masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita
sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif
(pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya
perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat
menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita
kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep
'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan
usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua
marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin,
unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah
dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh
Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan
ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk
sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan
tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk
membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas
terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan
dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita
kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua,
ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori
yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di
tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan
kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan
banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum
tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila'
(tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak
ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani
membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang
halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama
dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG
DALAM TARBIAH HARAKIAH
~PERMULAAN MESKIPUN DALAM KETERPAKSAAN~ |
Proses tarbiah Islamiah adalah satu
proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses
pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada
perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya
bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat
al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan
perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam
kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil
(lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan
ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan
bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan
'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir)
walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam
gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini
bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang
kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi
sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan
jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan
agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang
boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah
dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah
hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap
aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan,
rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
- Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya
daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
- Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu
pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan
dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses
perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
- Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja
mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program
tarbiah.
- Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan
secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu
usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan
dengan sempurna:
- Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?
Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam
membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh
mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama
membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna
(Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna
(al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut
fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi
kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat
kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan
dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan
tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
Dipetik dan diubah suai daripada
risalah "Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah" oleh Lajnah
Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.
وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ
مَسْؤُولاً
...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)
...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)
No comments:
Post a Comment