~Kutinggalkan dia kerana DIA…~
srikandi is awesome |
by aiesyaa yamin on saturday, July 28, 2012 at 6:53pm
“Awak yakin tak Allah akan tarik
balik hidayah yang Dia kurniakan jika kita cuba menafikan kebenaran yang Dia
dah hadirkan dalam hati kita?”,
begini aku memberi muqaddimah, cuba mengetuk pintu hatinya untuk menerima apa
yang bakal kusampaikan. Jauh di lubuk hati berkali kupanjatkan doa moga Allah
permudahkan.
“Dengan keyakinan & hidayah yang
Allah kurniakan pada saya, saya ingin menjelaskan kedudukan kita sekarang. Moga
iman kita sama-sama dapat menerima kebenaran ini”, kususun ayat selanjutnya dengan sebaik-baik dan
selembut-lembut bahasa.
“Saya yakin awak masih ada perasaan
sayang seperti dulu walaupun menyatakan kita cuma bersahabat & saya sendiri
tak dapat menafikan perasaan itu
(kebetulan pada ketika itu kami baru sahaja berdamai setelah konflik dingin
tercetus sehingga menyebabkan dia berjauh hati). Kita cuba bina hubungan
yang mengikut landasan Islam. Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang
memakai kosmetik Islam pada SMS berbau Islam atau pakaian berwarna Islam,
tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotori pasangan dengan
maksiat. Dalam surah Al-Isra’ ayat 32..Allah menegaskan: ‘dan janganlah kamu
mendekati zina, sesunguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu
jalan yang buruk’. Kita cuba mengelak perbuatan zina. Mengelak zina mata &
kaki dengan jarang berjumpa, elak zina tangan dengan tidak bersentuhan, elak
zina telinga dengan jarang berhubung melalui telefon tetapi kita gagal mengelak
zina hati dengan selalu merindui & mengingati antara satu sama lain..”,
bicaraku semakin menghampiri isi utama yang ingin kusampaikan. Dan ketika ini,
tidak ada lagi keraguan.
srikandi is awesome |
“Saya tahu, seperti saya awak juga
mengharapkan mahligai kukuh di sana, bukan bahagia sementara di sini. Tapi kita
tak mungkin dapat mengecapi bahagia dengan asas yang jelas Allah murkai.
Keluarga yang bahagia datang dari Allah tapi kita tak mungkin dapat
pertolonganNya jika kita melangkah silap sejak awal. Dalam surah Al-Hijr ayat
39-40, iblis berkata: ‘Ya Tuhan, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku
sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di
muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu
yang mukhlis di antara mereka”,
saat menuturkan kata-kata inilah teringat waktu-waktu indah menyulam kasih
dahulu. Saling menasihati dan bertazkirah, saling mengingatkan solat, saling
mengejut solat subuh, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi
semua itu memang tak betul caranya apalagi niatnya yang sudahpun dicemari &
dikotori nafsu syaitan yang terus membuai.
“Dengan kekuatan iman yang Allah
hidayahkan tuk menyelimuti hati yang rapuh, saya mohon kita berpisah dalam
keadaan yang masing-masing redha & faham untuk kebaikan bersama. Allah
berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 216: ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia
amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’. Moga selepas
ini kita benar-benar mengecapi nikmat taubat yang tulen & kembali berjalan
pada landasan redha Allah”, aku
menitipkan kekuatan itu di sebalik lembut bicara kerana kutahu ia sukar
baginya, sepertimana jua bagiku.
“Maafkan saya atas apa yang berlaku
& membawa hati awak jauh hingga tahap ini… Kita ikhlaskan hati meninggalkan
cinta kerana Allah & pasti yang lebih baik menanti di hadapan. Doa saya
akan selalu bersama awak. Teruskan perjuangan awak ke jalan Allah dan terima
kasih kerana mendidik saya mengenali kehidupan yang lebih muslimah. Dengan
lafaz mulia, saya mohon mengundur diri. Assalamualaikum..”, begitu aku menyudahkan semuanya. Seperti mana aku selalu
berpesan kepadanya, ‘kalau ditakdirkan kita berpisah kita berpisah secara baik
seperti kita mulakan hubungan ini dengan cara yang baik dan pada ketika itu
jangan ada benci antara kita’.
Peliknya tiada walau setitis airmata
yang menitis saat kututup tirai cerita antara kami. Beberapa hari selepas itu,
kuhubungi orang yang paling rapat dengannya juga ‘hakim’ yang paling kugeruni
sewaktu berkawan dengannya, ibunya. Sepanjang hampir setahun kami berkawan
secara serius, cuma sekali sahaja aku bertemu dengan wanita itu. Sememangnya
telah kuniatkan akan menghubungi ibunya selepas meluahkan keputusanku padanya
untuk mengakhiri hubungan kami, meminta ampun andai ada perubahan pada si anak
yang membuatkan hati si ibu terusik selama dia berkawan denganku. Selama kami
berkawan, dia tidak pernah menyatakan akan penerimaan ibunya pada perhubungan
kami. Setahuku ibunya agak keberatan, maklum saja keluargaku jauh di seberang
Laut China Selatan sana. Paling mengejutkan, beriya wanita yang melahir & membesarkan
insan pertama yang bertapak di hati ini membela si anak sepertinya aku meminta
kami berpisah kerana ragu dengan cintanya. Kujelaskan pada si ibu, keputusan
itu kubuat lantaran terlalu menyayanginya, bukan kerana ada keraguan pada
kesetiaannya walaupun saling berjauhan. Dan saat meluahkan keikhlasanku itulah
baru kusedar aku bercakap separuh teresak, menahan rasa yang tiba-tiba
menyesakkan dada. Setelah itu, barulah dia mengerti dan dia hampir-hampir turut
terseret dalam emosiku. Ahh… Hanya wanita memahami isi hati wanita.
“Saya cukup yakin dengan ayat Allah,
lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan wanita yang baik untuk lelaki yang
baik. Allah tak pernah mungkir dengan janji-Nya”, begini kutitipkan bicara lewat SMS pada si ibu sebaik
mengakhiri perbualan kami. Aku seolah-olah lebih rapat dengannya berbanding
emak yang melahirkan kerana aku tidak pernah menyuarakan rasa hati sedalam ini
pada emak. Maaf mak, bukan niat untuk meletakkan ibu lain di takhta hati ini
kerana singgahsana itu hanya untukmu selamanya.
Kini telah hampir 7 bulan semua itu
berlalu. Masih segar… Masih terasa hangatnya… Tiapkali kenangan itu menjengah
di jendela sepi, serasa ingin robek empangan tubir mata menahan rasa yang
membanjir. Aku juga insan biasa, dicipta punya perasaan. Tapi menyesali tidak
sesekali. Moga ada manfaat dari sedikit perkongsian ini buat pembaca…
Kupanjatkan syukur, setinggi tinggi
syukur atas kekuatan iman & hidayah yang Kau kurniakan. Didiklah aku,
pimpinlah aku dalam menyuburkan rasa kehambaanku padaMu, Ya Rabb…
Salamuallahia'laikum...A lot of benefit I gained from this entry..thanks so much sis...La tahzan...ukhwah fillah..abadan abada... ^_^
ReplyDelete