Tuesday 10 April 2012

~TIP MENGHADAPI MUSIBAH ~



~TIP MENGHADAPI MUSIBAH~




Seorang Muslim harus melalui anjakan paradigma agar sesuatu musibah tidak terasa berat untuk ditanggung. Ia mestilah merubah pola fikirannya sepertimana yang pernah dicontohi oleh pelbagai ulama silam.

Yang berikut adalah sebahagian kecil yang boleh saya sebutkan pada kali ini.

PERTAMA, setiap kali menghadapi musibah, kita hendaklah sentiasa menjaga fikiran kita sepositif mungkin.  

Salah satunya adalah meyakini di dalam hati bahawa musibah ini adalah suatu petanda bahawa Allah tengah mengiktiraf kita sebagai Mukmin.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Mukmin umpama pokok tanaman, setiap saat angin selalu meniupnya. Seorang munafik ibarat tumbuhan padi, ia tidak akan dicabut kecuali saat menuai.” {Sahih Muslim, Sifat al-Munafiqin wa Ahkamuhum, no. 7092.}. Ia juga meyakini bahawa musibah akan membersihkan dosa-dosanya.

Dalam Sunan at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda, “Bala sentiasa menimpa atas diri anak-anak dan harta seorang Muslim atau Muslimah sehingga ia berjumpa Allah tanpa membawa dosa sedikit pun.” {Sunan at-Tirmizi, kitab az-Zuhd, no. 2399. At-Tirmizi berkata, “Hadis Hasan sahih.”}.

Apabila anda mengalami kecurian, cubalah lakukan seperti kisah yang diceritakan al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ini.

Suatu ketika, seorang lelaki soleh kehilangan wangnya. Setelah mencari, baru ia menyedari bahawa seseorang telah mencuri wang itu daripadanya. Lalu ia segera berkata, “Semoga Allah memberkatinya. Mungkin ia lebih memerlukan wang itu daripada saya.”

KEDUA, membayangkan betapa besarnya balasan Allah untuk setiap musibah yang dihadapi.

Apabila ditimpa musibah, perkara pertama yang wajar kita lakukan adalah membayangkan betapa besarnya balasan Allah untuk setiap musibah yang dihadapi dengan hati yang tenang dan penuh keredhaan.

Dalam riwayat at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya balasan Allah sesuai dengan besarnya bala (dugaan). Sesungguhnya Allah, jika sedang mencintai suatu kaum, maka dia akan menimpakan bala kepadanya. Sesiapa yang redha, maka ia akan mendapat keredhaan (daripada Allah). Sesiapa yang benci, maka ia akan mendapat kebencian.” {Sunan at-Tirmizi, kitab az-Zuhd, no. 2396. Beliau berkata, “Hadis Hasan gharib daripada jalur ini.”}.

Suatu hari, seorang wanita solehah, isteri Imam Fath al-Musili, tersandung sehingga patah kuku jari kakinya. Beliau hanya tertawa melihat darah mengalir dari jarinya itu. Seseorang bertanya, “Tidakkah engkau berasa sakit?” Lalu ia menjawab, “Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitan itu.”

KETIGA, kita hendaklah berfikir secara mendalam tatkala melihat musibah dengan memerhatikan dari pelbagai sudut.

Jika itu kita lakukan, kita akan menyedari bahawa musibah ini sebenarnya sangat kecil berbanding kebesaran ni’mat yang kita miliki.

Suatu hari, seseorang mengeluh tentang kesulitan hidupnya kepada Muhammad bin Samak, seorang imam yang sangat zuhud. Ia mengeluh akibat lilitan hutang dan kesulitan untuk mendapatkan wang. Lalu Ibnu Samak bertanya kepadanya, “Berapakah wang yang engkau perlukan?” Ia menjawab, “Sepuluh ribu.”

Ibnu Samak bertanya lagi, “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi matamu hilang?” Si fakir menjawab, “Tidak mahu.”

Ulama itu berkata lagi, “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi lidahmu bisu?” Dia menjawab, “Tidak mahu.”

“Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi kaki dan tanganmu terputus?”  

Sekali lagi orang itu menjawab, “Saya tidak mahu.”
Lalu ulama yang bijak itu berkata, “Nah, kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wang tiga puluh ribu, tapi mengapa masih bersedih!”

LATIHAN  

Sikap sabar menghadapi musibah ini tidak mudah diraih oleh setiap orang. Ia memerlukan latihan yang panjang sebelum seseorang dapat memperoleh sifat yang amat terpuji ini.

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya meriwayatkan ucapan Sahl bin Abdillah at-Tustari (w. 283H), “Apabila seseorang terbiasa bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan terbiasa bersabar meninggalkan kemaksiatan, maka pada saat itu, Allah akan memberinya kekuatan agar mampu bersabar dalam menerima ketentuan-Nya.”







No comments:

Post a Comment

لإاله الإ الله

recharge our iman

glitter mouse

sakura